Halaman

Khamis, 2 Ogos 2012

"Bersahabat Dengan Al-quran"



Katakanlah: (Wahai Muhammad) Sesungguhnya, jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri (surah al-Isra’ ayat 88)

Saya berpesan kepada sahabat-sahabat, dan diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT, dengan sebenar-benar takwa, kerana sesungguhnya hanya orang yang bertaqwa sahajalah yang akan diwariskan dunia ini untuknya. Mudah-mudahan taqwa kita semakin hari semakin bertambah, dengan melakukan amal kebajikan, dan menjauhi perkara-perkara maksiat, yang mengundang kemurkaan Allah Taala.(ayat khutbah jumaat).

Apabila dikatakan bersahabat bermakna ia akan sentiasa berhubung atau dekat dengan kita samaada di hati atau fikiran. Al-quran merupakan kalam allah yg diturunkan kpd nabi muhammad sebelum datangnya hari kiamat.Ianya mengandungi 114 surah, 6,236 ayat, 77,437 kalimah, dan 335,989 huruf. Apabila kita membacanya adalah ibadat, dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas.

Al-Quran telah dijamin keasliannya di bawah pemeliharaan Allah Taala kerana ianya diriwayatkan secara mutawatir dari satu generasi ke satu generasi. Nabi Muhammad SAW menerima al-Quran melalui perantaraan Jibril AS, seterusnya Nabi Muhammad SAW membacanya dan menyampaikan kepada para sahabat baginda, seterusnya melalui para tabi'en sehinggalah kepada kita hari ini. Tidak terdapat sebarang pindaan walaupun satu titik dan huruf dalam al-Quran.

Sewaktu zaman nabi muhammad,terdapat mereka yg mahir serta arif tentang syair dan sekiranya ada dikalangan masyarakat jahiliah yg mampu membuatkan syair yg indah mereka akan dinobatkan sbagai pensyair terhebat.Disebabkan itu, al-quran juga merupakan syair yg cukup hebat dan ramai diantara ahli syair arab menyatakan ia bukan dari buah fikiran manusia sendiri.ia sebenarnya mukjizat yg diturunkan allah kepada nabi muhammad s.a.w.

Kita akan dapati di dalam kitab suci al-Quran, tidak terdapat sebarang percanggahan dan perselisihan antara ayat-ayatnya, kerana setiap ayat berkehendakkan kepada ayat yang lain untuk menerangkan maksud dan kehendak yang pelbagai, di samping penjelasan oleh Rasulullah sendiri terhadap sebahagian ayat al-Quran.Disebabkan itu juga ramai pengganut agama lain yg tertarik dengan keindahan ayat al-quran berserta dengan fakta sains yang telah dijumpai.

Antara ciri-ciri kita bersahabat dengan al-Quran adalah seperti berikut:

1. Menyibukkan diri dengan membaca al-Quran.

Kita hendaklah memusatkan perhatian dan berazam bersungguh-sungguh untuk membaca al-Quran sehingga khatam. Bacalah al-Quran dengan roh kita, dan jangan kita membaca al-Quran dengan jasad kita, kerana jasad kita mudah letih dan bosan. Sungguh beruntung dan bertuah, kalau sekiranya dalam setahun kita dapat khatam 30 juzuk al-Quran. Untuk permulaan, cuba kita biasakan membaca dua atau tiga ayat setiap kali selepas solat.

Setelah kita terbiasa dan menjadi kebiasaan, membaca dua atau tiga ayat setiap kali selepas solat, tambahkan lagi bilangan ayat sehingga empat halaman muka surat setiap selepas solat. Ini bermakna dalam sehari, kita telah berjaya membaca sejuzuk al-Quran, dan dalam tempoh sebulan, kita berjaya mengkhatam al-Quran 30 juzuk!!! Dapatkan naskhah al-Quran bersaiz kecil, untuk kita mudah membawa ke mana-mana sahaja.

Jika sekiranya, kita tidak mampu, beli CD al-Quran untuk mendengar bacaan Qari atau Imam.

2. Membaca dengan perlahan dan tadabbur maknanya.

Al-Quran perlu dibaca dengan perlahan-lahan untuk memudahkan kita menghayati dan tadabbur makna ayat-ayatnya. Hindarkan perbuatan berlumba-lumba untuk cepat khatam al-Quran, dengan meninggalkan hukum-hukum tajwidnya. Setiap huruf mempunyai hak-haknya yang perlu diberikan oleh pembacanya meliputi makhraj huruf, sifat huruf, hukum mad, hukum ghunnah, hukum tebal dan nipis dan sebagainya. Elakkan membaca al-Quran dalam keadaan tergopoh-gapah dan tergesa-gesa kerana ia boleh memesongkan kita memahami makna-maknanya. Eloklah kita memiliki terjemahan al-Quran peribadi, kerana ia memudahkan kita untuk memahami makna ayat-ayat al-Quran.

3. Bertindak balas dengan ayat yang dibaca.

Ayat-ayat al-Quran terdiri daripada ayat nikmat syurga, ayat ancaman seksa dan azab neraka, ayat teguran, ayat sindiran, ayat kiasan, ayat doa, ayat memohon perlindungan daripada azab seksa neraka, ayat kisah-kisah umat terdahulu dan sebagainya. Setiap ayat memerlukan tindak balas yang berbeza mengikut kehendak ayat. Ayat-ayat berbentuk doa dan nikmat syurga hendaklah dilafazkan dengan penuh pengharapan rahmat Allah, ayat-ayat azab hendaklah dipohon agar terselamat daripada azab tersebut dan sebagainya.
Demikianlah kita dituntut untuk bertindak balas kepada setiap ayat yang kita baca. Mudah-mudahan al-Quran akan memilih kita sebagai teman dan sahabatnya di hari yang tiada pertolongan dan syafaat selain syafaat Rasulullah SAW, syafaat al-Quran dan syafaat puasa.

4. Mengamalkan kehendak setiap ayat al-Quran.

Al-Quran diturunkan kepada manusia yang mempunyai akal fikiran yang jernih, yang mengakui kebesaran dan keagungan Allah Taala. Ayat al-Quran didatangkan berbentuk perintah dan larangan. Ada perintah yang berbentuk wajib, harus dan sunat. Begitu juga larangan, ada yang berbentuk haram dan ada yang berbentuk makruh.Al-Quran ditujukan secara langsung kepada manusia dan jin. Setiap manusia dan jin tidak terlepas daripada kewajipan dan tanggungjawab setiap ayat al-Quran. Ketika datang perintah dan ketetapan daripada al-Quran, manusia tidak perlu berlengah-lengah, bertangguh, malas, tunggu dulu atau membuat pilihan untuk melakukan ketetapan tersebut atau pun tidak.

Umat Islam yang mengakui kebesaran dan keagungan Allah akan terus melaksanakan ketetapan tersebut walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri sendiri. Ketika kita sedang berada di padang mahsyar, setiap manusia akan ditanya adakah kamu beriman kepada ayat-ayat-Ku yakni al-Quran??? Adakah kamu melakukan apa yang Aku perintahkan kepada kamu??? Adakah kamu meninggalkan apa yang Aku tegahkan kepada kamu???.

Saidina Umar bin al-Khattab sebelum keislamannya, merupakan orang yang keras menentang, orang yang paling lantang menghina dan mengejek agama yang dibawa oleh Muhammad SAW. Setelah mendengar ayat-ayat permulaan surah Thaahaa ini, hatinya terus rebah tersunggur mengakui kehebatan Allah, telinganya ditusuk kata-kata yang indah yang datangnya dari tuhan yang menciptakan manusia dan seluruh alam, yang Maha Agung dan Maha Bijaksana. Secara terus, peribadi yang buruk Saidina Umar al-Khattab bertukar menjadi sahabat yang paling berani mempertahankan agama Muhammad SAW, paling bertaqwa dan takut kepada Allah dan paling sensitif membezakan perkara yang haq dan perkara yang batil. Setiap perkara akan diletakkan pada hak dan kedudukan yang sepatutnya.

Begitu juga sahabat-sahabat Rasulullah yang lain, mereka terpesona dan terpaut dengan ayat-ayat al-Quran. Hati dan jiwa para sahabat sentiasa berdampingan dan berpaut dengan al-Quran setiap waktu dan saat. Tiada hari-hari mereka diluangkan begitu sahaja, selain membaca dan tadabbur ayat-ayat al-Quran. Al-Quran sentiasa terpahat kukuh dalam jiwa dan sanubari mereka. Merekalah sebaik-baik generasi al-Quran, yang pernah dilahirkan di atas muka bumi ini. Setiap perkara kebaikan walaupun sebesar biji sawi, mereka akan tetap lakukan apabila telah diperintahkan oleh al-Quran. Manakala setiap perkara keburukan walaupun sebesar biji sawi, apabila telah mendapat ketetapan daripada al-Quran mereka akan jauhi dan elakkan.

Marilah kita jadikan sahabat-sahabat Rasulullah sebagai contoh dan tauladan, untuk kita ikuti amalan-amalan mereka, supaya kita juga akan menjadi sebaik-baik umat manusia dan menjadi sebaik-baik pendamping dan sahabat rapat dengan al-Quran. Sebagaimana yang telah disebutkan dalam khutbah pertama antara ciri-ciri sahabat al-Quran adalah:
1. Menyibukkan diri dengan membaca al-Quran.
2. Membaca dengan perlahan dan tadabbur maknanya.
3. Bertindak balas dengan ayat yang dibaca.
4. Mengamalkan kehendak setiap ayat al-Quran.


Rasulullah saw bersabda dalam hadis riwayat Abu Umamah al-Bahili yang berkata :

Daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran pada hari Kiamat akan datang sebagai syafaat kepada sahabatnya”.
  
Mudah-mudahan Allah Taala melapang dada kita untuk menerima nur al-Quran, melunakkan lidah kita untuk menyebut kalimah-kalimah al-Quran, meringankan anggota badan kita untuk menyelak lambaran-lambaran naskhah al-Quran, mengasyikkan kita mendengar ayat-ayat al-Quran, menerangkan mata kita untuk membaca ayat-ayatnya, memudahkan kita mengamalkan isi kandungan ayat-ayat al-Quran.

wallallahhuallam/-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...