Halaman

Jumaat, 9 Mac 2012

Amerika Syarikat menawarkan Israel senjata canggih...

BAITULMAQDIS: Amerika Syarikat menawarkan Israel senjata canggih sebagai balasan kepada rejim Zionis itu kerana tidak menyerang kemudahan nuklear Iran tahun ini.
Akhbar Israel, Maariv yang memetik sumber diplomat dan perisikan melaporkan, pentadbiran Amerika Syarikat menawar untuk membekalkan Israel dengan bom pemusnah kubu dan pesawat mengisi minyak jarak jauh ketika lawatan Perdana Menteri rejim itu, Benjamin Netanyahu ke Washington baru-baru ini.
Sebagai balasan, Israel akan bersetuju untuk menangguhkan kemungkinan menyerang Iran sehingga 2013, selepas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada November.
Israel dan Barat mendakwa Iran berhasrat menghasilkan senjata atom menerusi program nuklearnya, tuduhan yang disangkal oleh Teheran.
Ia menjadi agenda utama dalam rundingan antara Netanyahu dengan Presiden Barack Obama awal minggu ini.
Amerika Syarikat dan Israel bercanggah pendapat mengenai ancaman Iran.
Pemimpin Zionis itu berkata Isnin lalu, usaha diplomasi untuk menyekat program nuklear Iran gagal dan ‘tidak seorang daripada kami sanggup menunggu lebih lama.’ Perbezaan utama antara Washington dan Israel ialah mengenai garis masa untuk menyerang Iran. Negara Yahudi itu menimbang kemungkinan untuk menyerang Teheran dalam masa terdekat ini. Menurut laporan itu, pentadbiran Amerika menawarkan Israel senjata canggih untuk mempengaruhi rejim berkenaan supaya menangguhkan hasratnya.
Antara yang ditawarkan ialah bom pemusnah kubu yang lebih kuat berbanding yang dimiliki rejim Zionis itu ketika ini. Ia akan membolehkan Israel menyasarkan kemudahan nuklear Iran walaupun di bawah tanah.
Laporan itu disiarkan sejurus selepas kuasa dunia yang dikenali sebagai P5+1, lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan dan Jerman, menawar untuk menyambung rundingan mengenai program nuklear Iran yang sudah sekian lama tertangguh. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...